berpatah² kata

salam n hallo...
thanks pada yg mai melawat..
harap u'olz dapat tinggalkan link..senang i nak jengok u'olz blk...
pada those yg tak dak link... letak nama kat 'name/URL'.. and just kosongkan bahagian URL..
tengkiu, süße!

Friday, August 28, 2009

Merangsang, Mendidik dan Mendisiplin Anak

Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan. Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan.

Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Jangan ambil ringan tentang cara mendidik anak kita hari ini, kerana ia akan mempengaruhi peribadi anak kelak.
  • Biasakan anak-anak menyebut nama Allah s.w.t. ketika mulai makan dan minum serta bersyukur kepada Allah s.w.t. sesudah selesai makan.
  • Jangan biarkan makan terburu-buru, biasakan anak-anak mengunyah makanan dengan baik.
  • Biasakan anak mulakan makan makanan yang berada paling dekat di depannya.
  • Biasakan anak mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
  • Biasakan anak makan dengan wajar dan jauhkan daripada sifat rakus.
  • Biasakan anak membuang hingus dengan tangan kiri, begitu juga jika membuang kotoran.
  • Jangan biarkan anak menghisap jari dan menggigit kuku.
  • Hendaklah membiasakan dia memberi dan menerima makanan dengan tangan kanan.
  • Jangan biasakan anak memakai baju atau seluar yang pendek, sebaliknya biasakan anak-anak menutup aurat sejak mereka masih kecil lagi.
  • Jangan biasakan anak tidur tertiarap.
  • Biasakan anak makan roti kering tanpa kuah sehingga dia tidak menganggap kuah itu sebagai suatu keharusan.
  • Biasakan anak memberus giginya ketika bangun tidur di waktu sesudah makan dan di waktu hendak tidur.
  • Biasakan anak mengucap dua kalimah syahadah dan mengulang-ulangnya beberapa kali setiap hari.
  • Biasakan anak membaca alhamdulillah setiap kali bersin.
  • Suruh anak menutup mulut setiap kali menguap (sangap).
  • Biasakan anak berterima kasih di atas kebaikan orang lain.
  • Biasakan anak berjalan di jalan yang telah disediakan. Larang ia bermain-main di jalan raya kerana ini amat merbahaya dengan kehadiran kenderaan yang lalu-lalang.
  • Jangan biarkan anak melemparkan kekotoran di jalan tetapi suruh ia meyingkirkan gangguan seperti duri, batu, kaca dan sebagainya.
  • Suruh dia mengucap salam dengan sopan kepada sesiapa yang ditemuinya serta menjawab salam cara sopan.
  • Hendaklah anak menghormati milik orang lain dan jangan biarkan dia mengambil barang permainan orang lain.
  • Jangan ibu bapa bertengkar di hadapan anak kerana sikap ini menghilangkan wibawa orang tua di mata anak mereka.
  • Biasakan anak menjawab azan, mengucap selawat kepada Nabi s.a.w. sesudah azan dan doa memohon wasilah bagi Nabi.
  • Apa yang diberitahu kepada anak mestilah perkara yang benar. Ibu bapa jangan menipu anak. Jika ibu bapa tidak tahu jawapan kepada persoalan yang diajukan anak, beritahu mereka bahawa kita tidak tahu dan mengajak mereka mencari jawapannya. Jika ada perkara yang mungkin sukar bagi kita menjawab sendiri oleh sebab-sebab tertentu, minta bantuan daripada orang lain dan beritahu anak perkara sebenar.
  • Apabila kita bercakap dengan anak, kita mesti menggunakan bahasa yang senang dan cakap terus terang serta tidak berbelit-belit. Kadangkala kita terpaksa memberikan satu-satu jawapan kerana tidak ada masa memikirkannya dan terpaksa membuat satu keputusan yang mengelirukan. Contohnya, anak meminta kebenaran bermain di luar tetapi hari panas, kita terus menjawab , "tidak boleh nanti dikejar anjing". Sepatutnya kita beritahu terus bahawa "tidak boleh hari panas" dan beritahu bahawa nanti akan menyebabkan mereka (anak) sakit.

  • Apa saja yang kita terangkan kepada anak-anak atau mengajar mereka, mestilah dilakukan dengan konsisten dan tepat. Pembaharuan boleh diterima oleh anak-anak tetapi jangan membuat pembaharuan tanpa sebab yang munasabah atau tidak jelas.

  • Sentiasa meransang dan memberi galakan. Keupayaan adalah asas membina semangat kepada anak-anak manakala kegagalan asas lemah dan boleh mematahkan semangat

  • Wujudkan perasaan positif dan tanamkan perasaan harapan yang tinggi dan jangan berputus harapan kepada anak-anak.

  • Anak-anak suka sesuatu yang berulang-ulang. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-kali, maka lebih kuatlah pembentukan rangkaian di dalam otak mereka. Namun, elakkan perkara berulang atau pengalaman negatif terhadap anak-anak.

  • Ajar anak supaya boleh membuat penentuan atau ramalan atas sesuatu yang terjadi atau apa yang bakal berlaku. Jika membuat sesuatu dengan anak berhenti sebelum anak masih minat dan seronok.

  • Anak tidak boleh dipukul, dicubit atau ditengking. Cara kita mendisiplinkan mereka mestilah diasaskan kepada: maruah yang tinggi, ilmu dan kefahamannya, wujudkan peraturan, terang dan tunjukkan cara, buat sebagai amalan dan menjadi contoh teladan

  • Dilakukan dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Perasaan gembira boleh mewujudkan keselesaan diri yang menyebabkan anak sentiasa riang. Perkataan yang digunakan, lagu-lagu pantun mestilah mewujudkan perasaan gembira. Elakkan perasaan sedih, sayu, pilu merendahkan anak, menghina manusia dan perkara negatif lain. Berikan anak-anak ilmu yang banyak, menjaga diri dan membina kemampuan melakukan banyak perkara yang berguna.

  • Anak perlu mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Kehilangan barang yang disayanginya, perpisahan ibu bapa, kematian dan sebagainya adalah kekecewaan yang akan dihadapi anak-anak. Semuanya mesti dijelaskan kepada anak secara benar dan bantulah anak mengatasi kekecewaan itu.

  • Teladan daripada ibu bapa dan orang lain dalam hidupnya adalah pengajaran yang paling efektif. Teladan yang baik akan meningkatkan ciri yang baik. Teladan yang buruk merosakkan amalan hidup dan kewibawaan anak.

  • Jangan pukul, cubit dan menghina anak. Elakkan mencari salah, membeza-bezakan anak-anak, menyebut jangan, tidak boleh tanpa sebab dan keterangan dan jangan menggunakan amaran yang marah tanpa sebab serta keterangan kukuh.

  • Membina keyakinan diri, maruah dan jati diri

  • Berlemah lembut terhadap anak-anak

  • Jangan memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak
  • Berusahalah mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak

  • Sentiasa bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan

  • Melahirkan suasana yang seronok ketika makan

  • Tidak membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak

  • Sentiasa melahirkan dan menzahirkan kasih sayang

  • Jangan mengeluh di hadapan anak-anak.

  • Sentiasa meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah

  • Selalu mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan

  • Sentiasa memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak

  • Selalu melibat diri dengan urusan pelajaran anak-anak

  • Sentiasa menitik beratkan masa rehat dan riadah anak-anak

  • Bergurau dan beriadahlah bersama anak

  • Selalu menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca

  • Mengajar dan melarang anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal

  • Sentiasa menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak

  • Selalu meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak

  • Tiada jurang komunikasi di antara ibubapa dengan anak-anak

  • Sentiasa menggunakan bahasa yang betul

  • Jangan bertengkar di hadapan anak-anak

  • Tidak menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak

  • Selalulah membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat

  • Tidak memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak,

  • Tidak terlalu mengongkong kebebasan anak-anak

  • Sentiasa menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak

  • Sentiasa menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak

  • Pupuklah semangat membaca di kalangan anak-anak

  • Sentiasa bersedia melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak

  • Berilah perhatian terhadap buah fikiran anak-anak

  • Memberi penghargaan kepada anak-anak

  • Jangan sekali-kali meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak sebaliknya menasihati dan memperbaiki

  • Memberi hukuman yang dirasakan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak keterlaluan

  • Jangan mengancam dan menakutkan anak-anak

  • Jangan menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan

  • Perlu konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak

  • Memberi nasihat yang berguna kepada anak-anak

  • Bersikap tegas dalam mendidik anak-anak

  • Sentiasa menggalakkan anak-anak untuk hidup bekerjasama

Perkara ini hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan didikan-didikan di atas, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Kita sudah sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan tersebut ke atas diri anak kita sejak anak itu kecil lagi.

Ini adalah masa yang terbaik ibu bapa mendisiplinkan anak-anak. Insya-Allah anak kita akan menjadi anak yang sejuk mata memandang dan menjadi pemimpin pada orang-orang yang beriman kelak. Seterusnya untuk menjadikan anak kita cemerlang, gemilang dan terbilang.

info dari http://anamarza.blogspot.com/

2 comments:

mama said...

panjangnya list :D

:cahya schatz: said...

:)
tajuk pon dah panjang...
harap2 i tak kopipes sj2 la...